10/06/2026
08 JUN 2026: Pusat Kokurikulum, Universiti Malaysia Kelantan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Razman Hafifi bin Redzuan, CMILT, Pengarah Pusat Kokurikulum UMK, atas pelantikan sebagai Chairman, The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) Kelantan Section.
Pelantikan ini telah dimuktamadkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sulung CILTM Kelantan Section yang berlangsung pada 8 Jun 2026, sekali gus menandakan penubuhan rasmi CILTM Kelantan Section sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh jaringan profesional logistik dan pengangkutan di negeri Kelantan serta wilayah Pantai Timur.
Penubuhan CILTM Kelantan Section ini juga berlangsung bersempena dengan lawatan audit akreditasi akademik CILTM ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK), yang turut memperlihatkan komitmen berterusan UMK dalam memperkukuh hubungan strategik antara dunia akademik, industri dan badan profesional.
Pelantikan Dr. Razman Hafifi sebagai Pengerusi sulung CILTM Kelantan Section diyakini akan memberi impak besar dalam memperluas jaringan profesional, perkongsian ilmu, aktiviti pembangunan profesional berterusan atau Continuous Professional Development (CPD), serta memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia khususnya dalam bidang logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan.
Pusat Kokurikulum UMK berbangga atas pencapaian ini dan mendoakan agar Dr. Razman Hafifi terus cemerlang dalam menerajui agenda pembangunan profesional CILTM di Kelantan serta menyumbang kepada pemerkasaan bidang logistik dan pengangkutan di peringkat negeri, Pantai Timur dan negara.
Tahniah dan syabas, Dr. Razman Hafifi bin Redzuan, CMILT.
Semoga pelantikan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dan jaringan strategik berimpak tinggi pada masa hadapan.